Friday, July 31, 2009

Ramadhan...Ku Tunggu Hadirmu.

Sedar ataupun tidak, bulan suci mulia yang telah kita tinggalkan lalu dengan penuh pengabdian dan keazaman untuk meningkatkan keimanan kita kepadaNya bakal menjelang tidak lama lagi. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan umur yang dengan mengurniakan kita sekali lagi Ramadhan, untuk kita renungi diri, pertambahkan iman dan persiapkan kekuatan dan bekalan. Seperti doa yang biasa kita ucapkan; Allahumma Ballighna Ramadhan. Seperti doa yang diajarkan Rasulullah saw kepada kita;

Apabila Rasulullah saw melihat anak bulan Rejab, baginda membaca (yang bermaksud),

Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadhan. (Hadith riwayat at-Tabrani dan Ahmad)

Betapa besar kurniaan Allah kepada kita di dalam bulan Ramadhan, dimana Rasulullah telah mengajarkan kita untuk berdoa agar kita dihidupkan sehingga sampai bulan Ramadhan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang patuh kepadaNya.

Bagi para daie ilallah, peluang mengecapi Ramadhan sememangnya ditunggu, di kala tamatnya Ramdhan yang lepas dengan penuh tangisan ketakwaan dan air mata keinsafan. Bulan bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang amal dakwah untuk mendekatkan manusia pada jalan Allah swt.

Persediaan dan perancangan perlulah dilakukan untuk kita memaksimumkan segala peluang yang di bulan Ramadhan ini. Sebagaimana yang dimaklumi, amal kebajikan akan diganjarkan setingkat lebih tinggi jika ia dilakukan pada bulan Ramadhan. Yang sunat diberi pahala wajib. Yang wajib digandakan dengan gandaan sesuai dengan kurniaan Allah swt Yang Maha Kaya.

Ketika Ramadhan menjelang, Rasulullah saw bersabda bermaksud, “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan Fardhu, seolah-olah dia telah mendapat 70 pahala Fardhu di bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang mendekatkan dirinya dengan amalam-amalan Sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan-amalan Fardhu di bulan-bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar. Ia adalah bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari Neraka…” (Riwayat Ibn Khuzaimah)

Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadhan ialah:

1) Memahirkan diri dengan segala rukun,sunat,harus,makruh yang berkaitan dengan puasa di bulan Ramadhan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.

2) Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajjud, untuk mendekatkan diri pada Allah, dan membiasakan tahajjud di bulan Ramadhan.

3) Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang telah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.

4) Menyediakan diri dengan kurang makan dan berpuasa, namun perlu diingat dengan sabda Nabi saw dari Abu Hurairah yang bermaksud;

Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa (riwayat Muslim)

5) Strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran. Pada bulan ini kita mempunyai kelebihan kerana musuh ketat manusia telah di rantai, sebagaimana sabda Rasulullah saw dari Abu Hurairah yang bermaksud;

Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat Muslim)

6) Melatih diri semua sifat Islamiah seperti sabar, kurang bercakap lagha dan keji, menjauhi mengumpat dan mengata, dan perbanyakkan senyuman kepada semua sahabat.

Jadi sahabat seperjuangan sekalian, sematkan azam masing-masing untuk kita memperbanyakkan amalan fardhi dan amalan dakwah kita di bulan Ramadhan yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi. Persiapkan mental mulai sekarang dan tekunlah istiqamah dengannya.

semoga segala amalan yang dikerjakan mendapat keredhaan Allah..
Amiin...

No comments:

Post a Comment

Allah is my love